Larian Ukhuwah Mtmza 2026 Eratkan Hubungan Masjid Dan Komuniti

Larian Ukhuwah Mtmza 2026 Eratkan Hubungan Masjid Dan Komuniti

PUTRAJAYA, 19 September 2026 – Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan Larian Ukhuwah MTMZA 2026, sebuah program yang menggabungkan elemen kerohanian, kecergasan dan kebersamaan komuniti.

Program bermula seawal jam 5.00 pagi dengan sesi pendaftaran dan pengambilan kit peserta sebelum diteruskan dengan Solat Subuh berjemaah, tazkirah Subuh serta aktiviti pemanasan badan sebagai persediaan sebelum acara larian dimulakan.

 

Acara pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Dr. Muhammad Yamin bin Ismail, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Yang Berusaha Dr. Muhammad Yusry bin Mazlan.

Mengambil kira keadaan jerebu di sekitar Putrajaya pada hari program, pihak pengurusan telah mengambil langkah proaktif dengan memendekkan jarak larian yang dirancang. Keputusan tersebut dibuat dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan peserta, di samping memastikan program dapat diteruskan dalam keadaan yang terkawal.

 

Larian Ukhuwah MTMZA 2026 menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila pendaftaran terpaksa ditutup lebih awal setelah mencapai kapasiti penyertaan yang ditetapkan. Seramai 350 peserta yang terdiri daripada jemaah MTMZA dan komuniti setempat telah mengambil bahagian dalam program ini.

 

Lebih daripada sekadar aktiviti riadah, penganjuran Larian Ukhuwah MTMZA 2026 menjadi medan untuk mengeratkan silaturahim, membudayakan gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan antara masjid dan masyarakat. Penglibatan peserta daripada pelbagai peringkat umur turut mencerminkan peranan masjid sebagai ruang yang menyatukan komuniti melalui aktiviti yang sihat, positif dan bermanfaat.

 

Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat terus memperluas penglibatan masyarakat dalam aktiviti masjid serta memperkukuh fungsi masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah dan pembangunan kerohanian, malah sebagai pusat pembangunan komuniti yang inklusif dan dekat dengan masyarakat.

 

Terima kasih dan penghargaan kepada KBS, HAH Management Resources, para petugas, sukarelawan serta seluruh peserta yang telah bersama-sama menjayakan Larian Ukhuwah MTMZA 2026. Semoga ukhuwah yang terjalin terus mekar dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program yang menyatukan masjid dan komuniti.

Leave a Reply

Close Menu