Dewan Solat
Terbahagi kepada 3 ruang utama :
– Dewan Solat Utama
Ia boleh memuatkan 12,000 orang jemaah dalam satu – satu masa. Ia amat luas dan digunakan untuk aktiviti – aktiviti masjid seperti solat jemaah lima waktu dan solat – solat sunat serta solat jumaat, majlis bacaan yasin dan tahlil, tazkirah, kuliah – kuliah agama, majlis akad nikah, Qiamullail dan lain – lain. Apa yang menariknya dewan solat tersebut tidak menggunakan kipas atau penghawa dingin sebaliknya menggunakan teknologi gas penyejuk udara ( gas district cooling) yang memastikan jemaah dapat melaksanakan ibadat dalam keadaan yang tenang dan selesa. Dewan solat ini juga dikelilingi dengan keindahan kolam air yang kelihatan seperti ia bersambung dengan air tasik.
– Dewan Solat Terrace
Dewan Solat Terrace ini berada pada paras C2. Ia boleh memuatkan seramai 5,000 orang jemaah dalam satu – satu masa. Ia dibahagikan kepada dua iaitu sebelah kanan untuk tempat solat lelaki manakala sebelah kiri tempat solat wanita.
– Sahn
Sahn adalah ruang limpahan terbuka di mana ia boleh memuatkan seramai 3,000 orang jemaah dalam satu – satu masa.
PERATURAN PENGGUNAAN DEWAN SOLAT
UNTUK MAJLIS PERNIKAHAN
- Pihak penganjur dikehendaki memohon secara bertulis beserta nama jurunikah (selain Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya) dan membuat pengesahan semula 5 hari sebelum majlis nikah dijalankan.
- Majlis nikah hendaklah di lokasi yang telah ditentukan (lampiran/rujuk kakitangan yang bertugas).
- Pihak penganjur tidak dibenarkan menggunakan sebarang punca elektrik yang terdapat di Dewan Solat bagi mengelak berlakunya gangguan elektrik.
- Memastikan sewaktu perjalanan majlis nikah tidak mengganggu aktiviti solat jemaah.
- Memastikan kanak-kanak yang berumur 6 tahun ke bawah tidak dibawa masuk ke Dewan Solat.
- Memastikan wanita uzur (haid) tidak masuk ke Dewan Solat.
- Memastikan pengantin dan semua rombongan di pihak pengantin berpakaian menutup aurat dengan sempurna.
- Memastikan semua yang terlibat memasuki Dewan Solat dalam keadaan suci dan bersih daripada sebarang najis dan kotoran.
- Adalah dicadangkan sebaiknya semua rombongan pengantin menunaikan sembahyang berjemaah bersama imam sama ada sebelum atau selepas majlis kerana ada didapati rombongan pengantin tidak ikut sama sembahyang sekalipun pada ketika itu ada sembahyang lima (5) waktu.
- Memastikan semua yang masuk ke Dewan Solat adalah beragama Islam.
- Menjaga adab-adab ketika berada dalam masjid seperti tidak membuat bising dan menunaikan solat sunat Tahiyyatul Masjid sebelum duduk.
- Sebarang bentuk jamuan hendaklah diadakan di ruang yang akan ditetapkan oleh pihak masjid. Pihak ‘Caterer’/Penganjur perlu menjaga kebersihankawasan masjid dengan memastikan lebihan makanan dibawa pulang dan tidak dibuang dalam kawasan masjid.