PUTRAJAYA, 1 – 4 September 2026 (Selasa – Jumaat): Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya dengan kerjasama NextGen Minda Academy, dikelola oleh Da’ie Syazwan telah berjaya menganjurkan Kem Cuti Sekolah: Kem Gen Alpha “Jaga Solat, Upgrade Akhlak”, sebuah program pembangunan AKHLAK, sahsiah dan pengukuhan Solat yang dirangka khusus untuk anak-anak pelajar (GenAlpha)
Program ini mengetengahkan pendekatan pembelajaran yang lebih santai, interaktif dan dekat dengan jiwa anak-anak serta remaja, selaras dengan keperluan generasi masa kini. Kem ini memberi penekanan kepada pembentukan jati diri, penghayatan ibadah dan pengamalan akhlak mulia dalam kehidupan seharian.
Antara pengisian utama yang diketengahkan ialah Modul Lengkap Fiqh Aqil Baligh, Blueprint Solat & Wuduk, Akhlak Tasawuf Rasulullah SAW serta Adab dan Personaliti Remaja. Pengisian tersebut disusun bagi membantu para peserta memahami asas agama secara praktikal serta mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
Selain pengisian berbentuk ilmu dan kerohanian, para peserta turut didedahkan dengan aktiviti yang menyeronokkan dan membina keyakinan diri seperti memanah dan Explorace. Aktiviti berkumpulan ini turut menggalakkan semangat kerjasama, disiplin, kepimpinan dan persahabatan dalam kalangan peserta.
Penganjuran kem ini juga merupakan antara usaha MTMZA untuk menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan generasi muda yang bukan sahaja menjadi tempat beribadah, malah menjadi ruang pembelajaran, pembinaan sahsiah dan aktiviti kemasyarakatan yang positif.
Terdahulu, Majlis Penutup Kem Gen Alpha ini telah disempunakan oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad Mursyid bin Zafarullah, Ketua Unit Tarbiyah dan Ibadah MTMZA.
Diharapkan program seumpama ini dapat melahirkan generasi insan yang dekat dengan masjid, cintakan solat, berakhlak mulia, berdisiplin serta mempunyai jati diri yang kukuh, sekali gus menjadi generasi pewaris yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.



