Majlis Pelancaran Tabung Infaq & Ihya’ Ramadan 1447H / 2026M

Majlis Pelancaran Tabung Infaq & Ihya’ Ramadan 1447H / 2026M

@Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

Putrajaya, 30 Januari 2026 (Jumaat): Pihak Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin telah berjaya menganjurkan Majlis Pelancaran Tabung Infaq & Ihyā’ Ramadan 1447H / 2026M sebagai pembuka tirai kepada pelbagai pengisian rohani dan kebajikan sempena kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Majlis telah dibuka dengan persembahan alunan bacaan al-Quran dari Al-Fadhil Us. Husaini Mahmur, Johan Qari Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan & Antarabangsa Tahun 2024.

Seterusnya, majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang turut menyampaikan ucapan perasmian. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan atas inisiatif penganjuran program Ihyā’ Ramadan serta menekankan kepentingan amalan infaq sebagai medium menyuburkan nilai keprihatinan, kebersamaan dan kesejahteraan ummah. Turut hadir bersama YBrs. Dr. Muhammad Yamin bin Ismail, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM dan YBrs. Us. Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim, Pengarah Darul Quran JAKIM.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan gimik pelancaran Tabung Infaq & Ihyā’ Ramadan 1447H / 2026M sebagai simbolik bermulanya pelaksanaan program-program sempena bulan Ramadan yang bakal tiba, selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

Dengan mengangkat tema “Ramadan Dihayati, Membentuk Jiwa Madani”, program ini diharapkan dapat meningkatkan penghayatan ibadah Ramadan serta mengukuhkan budaya memberi dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Pihak Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan mengajak orang ramai untuk terus menyokong serta menyumbang ke Tabung Infaq Ihyā’ Ramadan bagi menjayakan pengimarahan masjid sepanjang bulan Ramadan akan datang.

Leave a Reply

Close Menu