Putrajaya, 31 Januari 2025 (Jumaat) : Program Zikir Akbar Madani sempena Hari Wilayah Persekutuan 2025 telah berjaya dilaksanakan dengan penuh rasa kesyukuran di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya (MTMZA). Program ini dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan sokongan 13 agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Persatuan Sosial Kebajikan Yakin serta rakan strategik. Program juga turut diserikan dengan kehadiran YB Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Dengan tema “Islam Mekar di Bumi Malaysia,” program ini bertujuan untuk mengeratkan saf dan mensyukuri nikmat perpaduan, keamanan, dan kesejahteraan yang dinikmati oleh warga Wilayah Persekutuan. Program bermula pada pukul 6.00 petang dan berakhir pada pukul 10.30 malam, dengan pengisian utama seperti Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Besar MTMZA, Dr. Amru Alhaz bin Adnan selain iringan selawat, serta tausiyah yang menyentuh nilai perpaduan dan kesejahteraan. Tausiyah telah disampaikan oleh Sahibus Samahah Datuk Profesor Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan dan YBhg. Dato’ Profesor Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei Darussalam.
Amanat penting turut disampaikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Beliau menekankan pentingnya ukhuwah dan semangat Madani dalam membina masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
Program ini mendapat sambutan hangat daripada warga Wilayah Persekutuan yang hadir untuk merapatkan saf, mengeratkan ukhuwah, dan menghayati semangat Madani. Kehadiran mereka amat memeriahkan sambutan ini dan mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh.